Wednesday, June 1, 2011

Langit - Bhg. 5

Haniq dan suaminya menikmati penghujung Asar yang semakin menjingga untuk menjemput hadirnya Maghrib. Melihat mega-mega yang semakin pudar itu, sepantas kilat Haniq merasa kerinduan. Genggaman tangan suaminya dipegang erat. Firdaus menoleh kearahnya.

“Kenapa sayang?” Seperti adanya ikatan perasaan yang berhubung, Firdaus dapat merasakan kerunsingan menyelubungi isterinya. Haniq senyum cuba menutupi resah kelabunya.

“Bersatu kita ini bagaikan sudah tertulis di pohon syurgawi, benarkan?” Haniq menukar buah bualan. Firdaus senyum. “Hanya dengan perhitungan tujuh Tahajjud saja, langit dan dunia merobohkan sempadannya buat kita, bukan?” Firdaus tersenyum lagi mendengar indahnya aturan kata isterinya yang bijak itu.

“Tapi saya hanya diberikan masa sehari untuk membuat keputusan.” Firdaus melakonkan rajuknya yang sengaja diada-adakan. Tetapi kebijaksanaan Haniq ternyata tahu untuk memadamkan lakonan itu.

Haniq memandang Firdaus, mahkota hatinya. “Tetapi, dengan seharian masa itulah persetujuan termateri, bukan? Ikhlas bukan?” Persoalan tanpa jawapan itu tidak memerlukan penjelasan kerana mukjizat dari Illahi membolehkan Haniq seolah-olah boleh mendapatkan jawapan itu sendiri walaupun Firdaus tidak meluahkannya. Firdaus senyum sambil memandang garisan gigi langit yang semakin membiru itu.

Sesiapa pun mungkin tidak dapat menerima akal logika akan kejadian alam, akan ketentuan Tuhan. Kerana ia merupakan rahsia terdalam ciptaan syurga yang takkan mungkin tercapai oleh kebijaksanaan sekecil butiran pasir ini jika dibandingkan dengan Maha BijaksanaNya. Perasaan itu terkadang adalah bisikan iblis, tetapi ketentuan itu sudah azalinya tertulis di dinding JannahNya.

Firdaus memandang kearah isterinya yang tidak lagi berlabuhkan hijjab kerana sah sudah miliknya. Wajahnya sesempurna ribuan senja terindah yang pernah manusia nikmati di seluruh dunia ini. Gema suaranya sahaja semerdu tiupan angin lembut yang menyapa wajah sesiapa sahaja yang pernah melalui gigi-gigi air pantai dunia. Lihatlah, sesiapa sahaja akan merindukan keindahan ciptaan Tuhan ini dan siapa sahaja yang akan bersanggupan untuk menolak penyatuan sah ini? Tentulah Firdaus tidak akan sesekali melepaskan anugerah Tuhan yang mungkin tiada sesiapa pun di dunia ini berkesempatan untuk memilikinya. Firdaus bangga. Itulah riak dan takbur namanya, sifat iblis yang terlaknat! Lantas dia beristighfar.

Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, Haniq yang duduk di sisi suaminya tiba-tiba rebah. Empunya mata hijau berjeli tidak sedarkan diri. Rebah bagaikan daun gugur di musim luruh. Mungkinkah syaitan senja yang berlarian takutkan suara azan itu telah melanggar dan merebahkan Haniqnya hingga tidak sedarkan diri? Firdaus cemas.

˜

“Bukankah ini berita menggembirakan, ya Bapa Nasq! Menggembirakan!” Bapa Laq berkata seolah-olah meraihkan berita yang baru sahaja dikhabarkan dari tanah dunia. Bapa Harq memandangnya.

Bapa Nasq sedikit berbunga gembira kemudian terdiam seketika. Bapa Laq dan Bapa Harq turut terpaku terdiam. Mereka berpandangan sesama mereka. Beribu perasaan berbaur bergema-gema di cuping hati mereka bertiga akibat daripada kata-kata Imam yang bermain di gegendang ingatan mereka.

Bagaimana kejadian ghaib kerja Illahi itu terjadi jangan pernah dipersoalkan. Gumpalan darah dan cahaya mulai bercantum di dalam urat rahim Haniq. Apakah tanah dan cahaya mampu menyatu ataupun gugur dipertengahan usia kerdilnya? Apakah lahirnya waris langit dan bumi itu akan diangkat dan diterima naik ke negeri langit ataupun hanya bergantungan di antara sempadan tanah dan cahaya?  Apakah waris bangsa langit bakal terlahir atau kemurkaanNya diturunkan bersama azabNya? Na’uzubillah min zaliq. Ketiga bapa itu mulai menangis menyesali ketamakan mereka, taubat.

Haniq hanya duduk di tangga teratak peninggalan waris-waris terdahulu mereka sambil melihat ketiga bapanya yang amat dirinduinya. Kerinduannya dengan kampung halaman dan kaum-kaumnya cukup menebal sejak menjadi antara mereka yang tinggal di muka dunia dan bergelar isteri kepada kaum manusia. Kepulanngannya ke negeri asalnya di sambut secara rahsia oleh ketiga bapa-bapanya begitu juga pemergian sementaranya itu dirahsiakan dari suaminya.

“Ya Haniq, sayang... Mengapa kamu keluar dari rumah suami mu tanpa izinnya?” Bapa Nasq meluru ke arah Haniq yang baru sahaja menyampaikan berita menggembirakan itu. Haniq hanya diam menggeleng, takut.

Bapa Laq pula bersuara, “Ya Haniq, laknat itu namanya bila kamu keluar tanpa izin suami!” Haniq menjadi semakin cemas ketakutan diikuti dengan lelehan air mata kristalnya yang mulai berguguran.

Bapa Harq cuba menenangkan keadaan. “Semoga Allah mengampuni.” Mereka semua terdiam dalam perasaan penuh dengan ketakutan.

“Bapa, kita  ini rindukan kalian. Kita ini ingin menyampaikan khabar berita. Kita ini...” Kata-kata Haniq terhenti sambil tersedu-sedu. “Kita mendapat tahu pernikahan ini tidak diredhai Imam! Apakah benar?”

Ketiga bapa itu terdiam sambil berpandangan sesama mereka. “Tidak! Imam itu mulia sifatnya dan Imam takkan mungkin berfikiran untuk mengizinkan talaq atas pernikahan ini!” Haniq menambah lagi.

“Benar ya Haniq...” Bapa Laq bersuara. “Tetapi kita ini sudah melakukan kesilapan besar! Kelak laknat Tuhan akan turun atas kemurkaanNya!” Haniq mulai bergegar ketakutan. Lantas Bapa Nasq mendakap erat puterinya.

“Ya Bapa Laq, usahlah kita menambahkan kebimbangan Haniq. Kelak akan memudaratkan kesihatannya.” Bapa Harq berkata mententeramkan hati mereka semua. Bapa Laq berundur dengan ucapan maaf. Hatinya penuh sesalan. Manakala Haniq masih lagi menangis tersedu-sedu ketakutan. Diusapnya rahimnya dengan penuh kasih. Lantas bayangan suaminya mulai menerangi pandangan matanya. Jasadnya kembali ke tanah dunia.

˜



Bersambung...

2 comments:

sahidzan said...

mengunyah setiap kata. lalu memandang langit.

bersambung....

Finie Ramos said...

Tersenyum diam...

terima kasih...