Friday, May 6, 2011

Langit - Bhg. 4

“Ku terima nikahnya...”

Suasana hening dengan tarian cahaya pudar mulai diwarnai dengan benih-benih murni bernama Cinta. Wali tersenyum dan kedua saksi mengangguk menandakan sahnya pernikahan ini. Maka bercantumlah kedua-dua kerinduan yang singkat ini atas izin Illahi diikuti dengan munajat kesyukuran. Walaupun kecil, tetapi ribuan pari-pari turut serta mensyairkan doa-doa kesyukuran terhadap Maha Illahi pencipta sekalian langit dan bumi. Iblis pula bertangisan atas kekalahan cubaan hasut mereka.

Dahi halus bercahaya putih sang isteri dikucup perlahan oleh sang pengantin yang bergelar suami. Wali dan kedua-dua saksi tersenyum tanda merestui. Sahlah Firdaus dan Haniq menjadi sepasang suami isteri yang sah di kedua bumi dan langit, dunia dan akhirat. Syukur Alhamdulillah.

Upacara ringkas diakhiri dengan nyanyian tasbih diikuti dengan tangisan kecil untuk mengucapkan perpisahan antara dua beranak dan kaumnya. Firdaus hanya mampu mendakap isteri barunya dengan penuh rasa kasih.

˜


Sepurnama berlalu, pasangan suami isteri yang baru ini memulakan hidup mereka yang serba berlainan dari sebelumnya. Firdaus memandang kearah empunya bermata hijau yang menjadi kerinduannya. Kini mata itu sah miliknya.

“Haniq, benarkah semua yang saya lalui ini?” Firdaus bertanya dengan penuh halus.

Haniq memandang cintanya. “Ya suamiku, apakah kau tidak mensyukuri nikmatNya?” Katanya sambil merenung anak mata indah suaminya.

“Bukan begitu, sayang. Tetapi...saya masih lagi kebingungan dengan bagaimanakah...”

“Cukup suamiku, ini sudah ketentuanNya. Kita nikmatinya dengan penuh kesyukuran, ya sayang...” Haniq memotong kata-kata Firdaus sambil jemarinya membelai lembut anak rambut suaminya.

Seperti yang dijanjikanNya, yang terbaik itu tercipta untuk yang terbaik. Kerinduan dan cinta yang lahir di hati mereka berdua dirasai bersama-sama. Meskipun alam tercipta dengan sempurnanya, tidak ada seindah bersatunya dua hati dan jasad yang sememangnya telah ditentukan dari syurgawi. Nikmat yang dianugerahkan ini sememangnya dinikmati dengan penuh kesyukuran dan tanggungjawab itu seharusnya dilaksana sebaiknya.

Bahagianya mereka dilalui dengan penuh kasih dan diikuti benih-benih cinta murni juga telah menusuk masuk kedalam urat darah. Keajaiban ciptaanNya penuh dengan misteri dan nikmat yang hakiki. Kedua pasangan bahagia ini melalui hari-hari indah mereka di dunia ciptaanNya.

˜

“Ya Bapa Nasq! Tidakkan bapa tahu akan kemurkaan Tuhan apabila kita melanggari hukumNya?!” Suara Imam bergema di seluruh ruang masjid. Walaupun hanya mereka sahaja yang berada di situ, amarahnya cukup terasa.

Bapa Nasq yang dari tadi berusaha untuk mendapatkan keyakinan Imam mulai merasa cemas. “Ya Imam, bukanlah keinginan kita untuk melanggar hukumNya, tetapi mahulah kita untuk mencari jalan penyelesaian untuk menyelamatkan kaum dan bangsa kita ini.”

Bapa Harq yang dari tadinya diam mulai bersuara. “Sekiranya Talaq itu pilihan Imam, bukankah Talaq itu merupakan antara yang paling dibenciNya?”

Bapa Laq hanya beristighfar berkali-kali. Imam menggeleng kecewa. Lama beliau mencari jawapan. “Bapa-bapa sekalian, sudah tertulis dalam takdir Illahi bahawa qiamat itu pasti. Qiamat itu pasti!” Ketiga-tiga bapa itu hanya mampu terdiam.

“Bukan sahaja bangsa kaum kita akan hapus, tetapi bangsa kaum manusia termasuklah kaum jahanam itu sendiri akan dilarikan ke padang itu! Masya-Allah!” Imam mulai menggugurkan beberapa titisan kristal di garis matanya. Ketakutan mulai menyelubungi dirinya dan juga ketiga bapa-bapa itu. Mereka bersama-sama beristighfar.

Lama mereka membisu antara mereka. Penyesalan pun tiada gunanya. Penyelesaian pula seakan-akan jauh bersembunyi dari sudut pemikiran mereka yang serba kekurangan ini. Mereka tahu akan hukum alam, cahaya dan tanah tidak boleh bersatu. Kaum mereka tidak boleh bersatu dengan kaum manusia seperti yang telah tercatat dalam al-kitab Tuhan. Inilah bisikan iblis! Sentiasa menghasut memesongkan hati yang lemah! Na’uzubillah min zaliq!

“Ya Tuhan pencipta sekalian alam, berilah kami petunjuk ke jalan yang benar!”

˜

Bersambung...

4 comments:

sahidzan said...

kisah cinta antara dua alam yang menangkap.

boleh tahan setiap bait kata.

Teruskan episod seterusnya.

Finie Ramos said...

Terima kasih bnyk2..teruskn membaca karya yg xsbrapa ni ya.. ^_^

sahidzan said...

bila lagi keluar episod lima ni? hohoho.

Finie Ramos said...

PK...owh...maafla ya..sy tgah bergelut dgn masa skg ni... T_T

sy masih ushaknnya...