Malam yang dingin itu dirasakan agak berlainan. Hamparan sejadahnya dilipat rapi kemudian butiran tasbih dicapainya. Munajat Tuhan dimulakan sambil dia menikmati indahnya kegelapan malam yang bermisteri itu.
Lelahnya masih belum hilang walaupun sudah sehari suntuk dia berehat sekembalinya dari perkhemahan di hutan simpanan Danum petang semalam. Namun ia bukan alasan yang kukuh baginya untuk mempersiakan masa peberian Tuhan demi untuk bersendirian bersama Ilahi di waktu sunyi yang penuh misteri ini. Tubuhnya disandarkan ke dinding, tidak mahu berbaring kerana takut terlajak Subuh.
Dilihat kearah bibir langit yang masih lagi belum memancarkan garisan kuning fajar. Manakala bintang buruj masih ligat menari di angkasa raya. Tiba-tiba matanya pinar. Cahaya putih yang entah datangnya dari mana menerangi kepekatan malam sekaligus memadamkan tarian sang buruj. Hatinya diselubungi kehairanan.
Berusaha dia mencari punca cahaya yang amatlah silau itu, namun gagal. Entah semena-menanya, bergema pula suatu suara ghaib diantara cahaya putih itu. Dia tahu, dia masih dalam keadaan sedar. Bukan tidurnya.
“Ya, Firdaus Ridhwan..” Suara itu bergema semakin jelas memanggil namanya. Sudut pandangnya diperbetulkan lantas kelihatan tiga kelibat dihadapannya. Cahaya putih beransur hilang. Namun masih ada sisa-sisa cahaya putih pudar bertebaran di lantai biliknya.
Firdaus Ridhwan kebingungan. “Siapa kamu?!”
“Assalamualaikum, Firdaus Ridhwan.” Firdaus merasa sedikit lega. Dia menyambut salam itu seeloknya. Hatinya penuh debaran.
“Kita ini datang dengan hajat. Tetapi maafkan kita kerana hajat ini telah memecahkan tradisi langit dan bumi.” Salah seorang dari lembaga bercahaya putih itu bersuara. Firdaus berusaha untuk mengamati wajah mereka satu persatu. Subhanallah, teramatlah sempurnanya.
“Apakah hajat kamu kemari?” Firdaus masih kebingungan. Hatinya masih dipenuh ketakutan dan tanda tanya. Tetapi tidaklah dia begitu biadap untuk mengusir mereka kerana salam telah diucapkan diantara mereka.
Salah seorang dari lembaga itu menghampirinya sedikit. “Kita ini bernama Bapa Nasq, wali kepada anak perempuan kita yang mahu kita carikan suami yang sah.” Firdaus semakin berdebar.
“Dan kita ini Bapa Laq dan Bapa Harq yang akan menjadi saksi sah pernikahan ini...itu pun jika pihak dari anda berkesudian untuk menerima pernikahan ini.” Lembaga yang bernama Bapa Harq pula bersuara dengan nada yang penuh hormatnya.
Firdaus terpaku. Apakah ini mimpi mainan tidur yang membuatkan dia terlajak Subuh atau... “Bukan, wahai anak...Ini bukan mimpi mainan syaitan.” Lembaga bernama Bapa Laq itu berkata-kata dengan penuh keyakinan seolah-olah dia mampu membaca buku isi hati Firdaus yang cuba disiratkannya.
“Mengapa saya perlu bernikah dengan anak perempuan kamu sedangkan saya tidak tahu asal usul kamu?” Firdaus rasa penuh gementar. Hatinya berdegup kencang tetapi dapat dirasakan ada sedikit kelainan saat ini. Suatu perasaan tenang dan aman yang entah lahirnya dari mana.
Bapa Nasq yang berdiri sehampir dengannya berkata, “Kerana kita ini seagama dan setuhan. Kita memilih anda atas budi mulia anda. Tolonglah. Bukan atas dasar paksaan atau belas, tetapi atas dasar kepercayaan sesama umat Tuhan pencipta sekalian alam.” Bapa Nasq menyambung lagi. “Yang terbaik itu Allah ciptakan untuk yang terbaik, dan andalah yang terbaik itu.”
Firdaus semakin kebingungan. Apakah ini ketentuan Illahi? Diamatinya ketiga lembaga cahaya yang berkata-kata padanya ini. Wajah mereka tenang penuh dengan kesempurnaan ciptaan Tuhan. Apakah ini yang sering disebut dalam kitab; bangsa Jin Islam atau Bunian? Hatinya semakin gementar tetapi ketenangan yang belum pernah dialaminya menyelimuti benaknya.
“Mungkin anda masih merasa curiga dan was-was untuk membuat pilihan. Tetapi bukanlah terniat dihati kita untuk memurahkan nilai milik kita.” Bapa Nasq berkata lagi diikuti dengan Bapa Laq. “Apakah anda mahu melihat bakal isteri anda sekiranya anda bersetuju untuk pernikahan ini?”
Firdaus tetap terkunci kaku namun jauh disudut hatinya terbit suatu perasaan termisteri yang terindah. Sedalam mana pun perasaan itu, tetap tidak mampu diselubunginya dari ketiga-tiga lembaga cahaya ini. Lantas Bapa Harq bersuara pula. “Kita tahu hati anda, maka kita perlihatkan bakal isteri mu. Itupun sekiranya anda wujudkan persetujuan antara kita ini.” Nadanya sedikit sinis. Firdaus tersenyum dengan kesinisan itu.
Tiba-tiba suatu cahaya lembut menyinari ruang biliknya. Hatinya mulai resah. Seribu satu perasaan mulai terbit dibenak terdalamnya. Sepasang mata hijau berjeli muncul diikuti dengan bentuk terindah yang belum pernah dilihatnya seumur usianya.
Walaupun terselindung dengan hijjab putih dan persalinan yang serba labuh itu, Firdaus seakan-akan dapat melihat betapa sempurnanya misteri ciptaan Tuhan ini walau hanya dibalik cahaya-cahaya putih yang menari-nari mengelilinginya.
“Haniq namanya, Ya Firdaus.” Bapa Nasq berkata padanya yang berkeadaan seribu perasaan itu. Firdaus hanya terdiam. Terpaku beku.
Ketiga lembaga cahaya itu sama sekali tidak membenarkan seinci jarak sekalipun menghampiri Firdaus dengan Haniq dan begitu juga Haniq yang sekalipun tidak menyingkap tirai hijjabnya untuk ditatap Firdaus yang penuh dengan perasaan ingin tahu itu.
“Ya Firdaus, cukup sampai di sini dahulu perhitungan kita.” Bapa Harq bersuara memecahkan kebekuan Firdaus sekaligus bayang cahaya lembut itu lesap dari pandangan.
Firdaus kebingungan tapi masih terkunci diam. “Ya Firdaus, kita berikan waktu untuk anda membuat keputusan.” Bapa Nasq berkata. “7 malam lagi kita kembali untuk mendapatkan kepastian.”
“Sekiranya kedua pihak kita mencapai persetujuan, pernikahan dilaksanakan.” Bapa Laq pula berkata.
Firdaus yang dari tadinya terpaku hanya mampu mengangguk dengan teragak-agak. Kebingungan menguasai benaknya yang penuh dengan seribu tanda tanya.
Azan Subuh bergema, cahaya pudar beransur menghilang. Firdaus yang sememangnya tidak memejamkan mata bangun dari sandarannya sambil menggosok-gosokkan kelopak matanya. Mimpi? Tidak...ia bukanlah mimpi tetapi nyata!
Firdaus memandang sekeliling ruang biliknya. Tiada yang berlainan dari asalnya. Lantas dia terpandang satu objek bersinar di hujung lipatan sejadahnya. Rantai kaki...
˜™
Bersambung...
2 comments:
Kemarin gua mmbaca episod ptama. Nampak gaya lu berjaya menarik gua menunggu episod tiga.
Very gud.
Terima kasih bnyk2...komen anda membuatkn sy smakin bersemangat utk terus menulis!
Post a Comment