Thursday, June 2, 2011

Langit - Bhg. 7

Jauh di sudut terindah alam ciptaan Tuhan yang Esa ini, kedua pasangan cinta beradu dengan kasih yang dianugerahkan kepada mereka. Semakin mereka menghitung hari, semakin jelas kelihatan hasil percantuman dua dimensi ghaib sang Tuhan yang maha mengetahui. Haniq menjadi semakin lemah berupaya untuk menyesuaikan keberadaannya yang jauh berbeza dari ratusan tahun usia pernah dilaluinya selama ini.

“Sayang, anak kita ini pasti akan menjadi sekuat dirimu sayang.” Haniq merenung anak mata suaminya yang bakal menjadi wali kepada anak mereka ini. Tangan lembutnya mengusap rahimnya sambil bibirnya menyanyikan tasbih Ilahi buat si kecil yang masih berada di alam lain. Firdaus tersenyum bangga. Dia mencintai isterinya yang jelita itu.

Seperti sifat-sifat azali seorang manusia, Firdaus begitu teruja menanti kehadiran cinta mereka kelak. “Apakah nama untuk si kecil ini nanti, sayang?” Firdaus berkata sambil melukiskan sebuah senyuman terindah yang pernah Haniq lihat selama ratusan umurnya. Haniq tersentuh. Fikirannya melayang mengenangkan kata-kata bapanya diikuti dengan berita yang memedihkan mengenai keredhaan Imam. Tidak semena-menanya, air mata jernihnya jatuh bercucuran walau sedayanya disembunyikannya.

Firdaus mulai gundah. Dia mengusap perlahan air mata kekasihnya. “Kenapa sayang? Silapkah saya bertanya akan nama untuk si kecil kita ini nanti?” Haniq menggeleng perlahan sambil tersenyum. Walau senyuman itu agak kelat, namun cukup membuatkan hati sang suami mekar kembali.

“Ampunkan kita, suamiku.” Bisik hati kecil Haniq. Hanya malaikat-malaikat di bahu sahaja yang dapat mendengar bisikan kecil itu. Firdaus hanya merenung wajah isterinya. Cepat-cepat Haniq mengubah atmosfera suasana antara mereka kembali menjadi sedia kala. Berusaha dia menutup hijjab perasaan gundahnya yang dilahirkan dari khabar langit biru.

“Aku mahukan seorang putera kecil untuk menjadi pelindung langit dan bumi dari iblis.” Haniq berkata-kata dengan lancar lantas dia terdiam. Dia sedar kata-kata itu pasti melahirkan kerunsingan suaminya kelak. Nah, benar sakaannya. Firdaus mengerutkan kening.

Firdaus mulai dihujani rintik tanda tanya. Pelindung langit dan bumi dari iblis. Dia cuba untuk membelek kamus mindanya yang nipis namun gagal. Apalah sahaja pengetahuan sedikitnya ini jika dibandingkan dengan luasnya pemandangan alam ini. Alpa, Firdaus terlupa akan buku persoalannya. “Kalau begitu, Amir sesuai untuknya kelak.” Firdaus berkata membuahkan pendapat yang berjaya membuatkan cinta kesayangannya tersenyum indah.


“Terima kasih suamiku.” Haniq membelai dahi suaminya. Firdaus tersenyum. “Terima kasih ya Allah kerana menghadiahkan aku isteri sesempurna ini.” Bisik Firdaus jauh ke dalam lubuk hati Haniq. Mereka berdua terlena diselimuti indahnya angkasa berbintang seribu.

Nun jauh di lapisan lain langit biru yang kian menggelap dimamah masa, Bapa Nasq menangis dalam Tahajjudnya. Cucuran sungai dukanya mengalir deras. Dia berdiam di ruangan kosong terataknya yang kini tinggal hanya dia seorang sahaja yang mengisi ruangan itu sejak puterinya disunting adam dunia. Dalam Tahajjudnya disisipkan Taubat. Sesalnya menggunung. Hasutan iblis berjaya merobohkan dinding kekuatan imannya untuk teguh bertahan. Tangisnya tambah berlagu takutkan merahnya murkaNya. Ya Allah.

Kita hidup bukanlah untuk hidup, kita hidup untuk mati dan kita mati untuk kehidupan yang kekal abadi. Kata-kata Imam itu membuatkan fikiran sang wali semakin bercelaru.

Ya Allah, berikanlah hamba mu ini secebis kekuatan untuk menghadapi segala dugaanMu.


˜


Bersambung...

No comments: