“Haniq ku, sayang...” Firdaus mengusap lembut rambut ikal isterinya. “Keadaan mu begitu lemah. Agak lama kau terlantar di sini.” Suara Firdaus penuh kerisauan terhadap isteri kesayangannya.
Haniq cuba menguatkan tubuhnya bertongkatkan siku lengannya untuk bangun di sisi suaminya. Tiba-tiba mata indahnya mengalirkan air mata kedukaan. “Ya suami ku, marilah kita menjalankan Taubat atas perbuatan kita. Namun sesungguhnya kita ini masih isteri mu yang sah!” Lantas Haniq menangis dengan sepuasnya. Basah bahu suaminya oleh air mata tangisannya. Firdaus kehairanan.
“Ya Haniq sayangku. Sememangnya kita ini suami isteri sah dunia dan akhirat. Kenapa pula berkata begitu? Apakah dosa kita sampaikan ketakutan begini?” Firdaus berkata sambil memegang erat kedua bahu isterinya sambil diamati dalam anak mata indahnya.
Haniq meredakan tangisannya dengan mengucup lembut dahi suaminya. “Sayangku, hidup kita sudah berusia. Perhitungan dosa silam kita itu ghaib takkan pernah kita menghitungnya tepat melainkan Dia. Maka janganlah disimpan kesalahan itu, buanglah dengan Taubat.”
Firdaus hanya berdiam namum dihatinya mulai mempersoalkan sejuta pertanyaan tetapi tidak diluahkannya. Bukanlah kemampuannya untuk menyelami akal fikiran lantas dibiarkan saja ia terbang di tiup angin mainan perasaan. Firdaus tersenyum kembali.
“Apa khabar si kecil kita ini, sayang?” Firdaus membelai lembut rahim isterinya dimana tumbuhnya bukti cinta mereka. Bulat molek bentuknya namun masih kecil seakan genggaman kedua tangannya. Haniq tersenyum tapi tidak semanis dahulunya.
“Tuhan menjaganya dengan baik, suami ku. Tumbuhnya akan menjadi sesempurna lahirmu, suami ku.” Haniq berkata. Kali ini senyumannya melebar. Penuh dengan keayuan di wajahnya.
“Semoga Allah memberikan kejelitaan sama seperti ibunya, kan!” Firdaus mencuit manja isterinya. “Dan juga semulia bapanya.” Tambah Haniq lagi.
Tawa mereka tidak begitu lama. Nun tidak jauh di sudut langit yang kian menggelap oleh cahaya biru waktu Isyak, ketiga bapa itu bertemu Imam di ruangan masjid kaum bangsa langit yang terletak di atas perbukitan mega tinggi. Imam sememangnya sudah mengetahui hajat ketiga-tiga bapa seusia dengannya itu. Lantas mereka membuat bulatan kecil, duduk memulakan perbincangan rumit yang penuh dengan rahsia. Tiada seorang jemaah langit pun yang berniat untuk memasuki celah perbincangan itu kerana bicara itu bukanlah hak mereka.
“Bapa Nasq, hati yang kerdil ini tidak mampu membuat keputusan yang tepat setepat-tepat keputusanNya.” Imam membuka bicara dengan tenang tapi jauh di lubuk hatinya gusar. Ketiga-tiga bapa itu saling berpandangan sambil bibir mereka terkumat-kamit menyebut tasbih Tuhan.
Bapa Laq memandang saudaranya, Bapa Nasq dengan penuh perasaan sayu dan cuba memberikan sedikit ketenangan walau sekadar ada. Bapa Nasq mengangguk perlahan. “Seperti kekasihNya sentiasa mengingatkan kita; kita hidup bukanlah untuk hidup, kita hidup untuk mati dan kita mati untuk kehidupan yang kekal abadi.” Imam menyambung kata-katanya lagi namun ayat itu seolah-olah sebilah pedang yang dihunuskan ke nadi Bapa Nasq. Begitu juga dengan bapa-bapa yang turut berada disitu.
Bapa Harq mengerutkan dahinya cuba memaparkan sebuah perasaan yang pedih. “Ya Imam, apakah maut itu sedang menghampiri puteri kita ini?” Bapa Nasq cuba menahan sebak hati mereka namun disembunyikannya.
Imam beristighfar sebanyak mahunya. “Wahai bapa sekalian. Kita ini bukanlah memiliki sihir ataupun bomoh untuk mengetahui masa hadapan yang belum terpandang oleh kita. Sesungguhnya sihir itu dilaknat Allah! Wallah hu alam.” Bapa Nasq yang dari tadi hanya berdiam diri mulai berkaca.
“...dan kita ini tidaklah mahu mempercayai ajaran-ajaran penyembah matahari yang mempercayai sesuatu yang bukan hak milik akal mereka. Kita harus berpegang pada ajaran Illahi. Berserah padaNya.” Imam memegang pundak ketiga-tiga bapa itu dengan penuh perasaan sebak. Bukanlah mahunya untuk membiarkan ketiga-tiga bapa ini hanyut dengan bisikan-bisikan syaitan yang cuba membunuh iman mereka. “Haruslah kita sentiasa yakin pada kejadian alam ciptaanNya ini.”
˜™
Bersambung...
2 comments:
yakin.
memerhati, berfikir, mengkaji. dari situ akan ada yakin.
yakin tanpa tu semua, itu hidayah gua rasa.
wallahualam.
Asalkan yakin itu berlandaskan iman, hidayah la namanya.
Post a Comment