Dhuha menyinsing, Haniq yang baru sahaja selesai berurusan dengan Ilahi melabukan tubuhnya keatas pembaringan. Letihnya masih terasa sedikit. Pengembaraannya bersama bapa-bapanya ke alam dunia bangsa manusia membuatkan dia tersenyum bersendirian.
“Firdaus Ridhwan.” Namanya seindah empunya. Hati Haniq mulai berbunga. Cemas hatinya sebelum waktu Tahajjud itu lantas hilang sebaik sahaja terpaut matanya kepada Firdaus Ridhwan itu. Mungkin benar, inilah ketentuan Illahi. Jauh disudut ruangan, Bapa Nasq berlega hati sambil melihat puterinya menikmati memori tersingkat itu.
Masa beredar dengan pantas. Firdaus Ridhwan yang baru sahaja melalui fenomena misterius Subuh tadi hampir saja terluput dari mindanya oleh larian waktu seharian. Dhuha memanjat naik hingga ke puncak Zohor. Asar meninggalkan tirai langit senja dan Maghrib menjelma seketika lantas Isyak yang panjang melabuhkan waktunya sekali lagi di langit gelap penuh dengan misteri ketuhanan. Firdaus yang keletihan melalui hari siangnya berbaring lesu diatas pembaringannya.
Matanya yang hampir saja terpejam menjadi celik semula sebaik sahaja tertangkap oleh anak matanya seutas rantai kaki yang ditemuinya di hujung sejadah subuh tadi. Hatinya terdiam, kebingungan mulai merajai hati. Lantas dia teringat, “Haniq! Nama itu! Cahaya itu!”
Mindanya mulai terbuai jauh meninggalkan udara. Tiba-tiba suatu suara halus menusuk anak telinganya. Firdaus bangun dari pembaringan.
Dihadapannya dilihat cahaya pudar itu lagi diikuti dengan kelibat lembaga putih terindah itu. Namun kali ini tanpa kelibat tiga cahaya bergelar bapa itu. Firdaus kehairanan. “Assalamualaikum ya Firdaus Ridhwan.” Halus suara itu menyapa disebalik hijjab putih. “Ini Haniq.”
Suatu perasaan berbunga kerinduan tiba-tiba terbit diantara seribu satu perasaan yang terbuku lubuk hati Firdaus. “Wa’alaikumusalam, Haniq.” Firdaus terhenti seketika cuba mengamati mata berjeli hijau itu sepuasnya tetapi sepantasnya mata indah itu dialihkan dari pandangannya. Firdaus sedikit kecewa. Inilah sifat manusia. Tamak. “Apa hajat kamu kemari, Haniq?”
Suara kecil mencuit hati Firdaus. “Kedatangan ini tanpa izin dan pengetahuan bapa-bapa, namun tidaklah dapat dirahsiakan dari Tuhan Illahi.”
Firdaus terkejut tetapi berbalut gembira dan kerinduan pula. “Jadi, apa mahumu kemari?” Firdaus cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya.
“Hati ini resah menanti jawapan. Sudah enam malam berlalu dan pastinya Tahajjud kali ini rombongan bapa akan kembali lagi kesini seperti yang dijanjikan.” Haniq bersuara kecil, Firdaus tersentak.
“Enam malam? Bukankah baru seharian siang berlalu?” Firdaus berkata dengan penuh tanda tanya. Lantas Haniq tertawa kecil tetapi diselindungkan dibalik tabir hijjabnya.
“Kita terlupa, waktu larian kita tidak selaju. Seharian disini maka bersamaan dengan tujuh Tahajjud di sana, ya Firdaus.” Kata Haniq dengan penuh penjelasan. Tiba-tiba Haniq terhenti lantas berundur sedikit. “Kita harus pergi sebelum bapa-bapa mendapat tahu pemergian kita!”
Firdaus mulai gundah. “Tahajjud ini kita kembali,” Haniq berkata memadamkan gundah Firdaus yang kian ketara sambil anak mata jelinya seakan mengukirkan satu senyuman. Sekelip mata sahaja cahaya pudar itu serta merta hilang. Firdaus bingkas.
Langit pekat bersinarkan buruj menyelimuti alam ciptaan Tuhan. Firdaus yang dari waktu Isyaknya terpaku tidak mampu memejamkan mata. Anak mata berjeli bermain di fikirannya membuatkan sah syarat Tahajjudnya terbatal kerana kegagalannya untuk melelapkan mata.
Rantai kaki penemuannya di hujung lipatan sejadahnya Subuh semalam erat dalam genggamannya. Semakin erat jemarinya menggenggam rantai itu, semakin berbunga rasa hatinya. Kerinduan hatinya terhadap empunya mata hijau berjeli itu semakin memuncak. Kemahuannya untuk bertemu dengannya semakin meronta-ronta. Hatinya sungguh merindukan cahaya pudar itu. Walaupun Firdaus dipenuhi dengan perasaan kehairanan akan di mana, bagaimana, mengapa semua kejadian dan perasaan ini hadir namun semua itu luntur. Kecantikan dan kesempurnaan ciptaan Illahi itu telah membuainya jauh bermain dengan rama-rama perasaannya.
Saat waktu sabar menanti janji untuk ditepati, tiba-tiba terlintas di ingatannya akan suatu perjanjian antara ketiga-tiga bapa bercahaya putih itu, pernikahan. Dan Haniq, pernikahan itu akan menyatukan kerinduannya yang semakin parah itu. Bapa-bapa itu sedang menantikan jawapan darinya.
“Ku terima nikahnya...”
Bersambung...
No comments:
Post a Comment