Wednesday, April 27, 2011

Langit - Bhg. 1

“Imam! Ya Imam!” Kedengaran suatu gema memecah keputihan suasana perkarangan masjid Al-Firdausi perkampungan kaum terpencil, kaum langit. Zikir Imam yang berusia hampir 3,000 tahun itu terhenti. Kelihatan kelibat cahaya putih menembusi hijjab ruangan.

“Ada apa itu ya Zanq?” Imam berkata sambil butiran tasbih masih erat di jemarinya. Zanq merehatkan kepak lesunya setelah melalui beberapa rentas masa untuk bertemu dengan Imam.

“Ya Imam, Ibu Mithq...Ibu Mithq...” Kelihatan urat kehampaan diantara ruang pertemuan keningnya. Imam hanya mampu mengucapkan ‘inna lillah’ sambil memandang kearah langit firdausiNya dengan penuh rasa rendah dan hina. ‘Dari Engkau kami datang, kepada Engkau kami kembali’.

˜

Begitulah seruan alam, tiada yang kekal sekekalNya. Seribu tahun pun usia dan sedalam mana pun cinta, ia takkan mampu menandingi keabadian yang Esa. Alam yang diciptakanNya ini hanyalah suatu persinggahan yang sementara dan bukanlah milik sesiapa, tetapi Dia.

Haniq memandang ke wajah walinya, Bapa Nasq. Tanpa hijjab putih membaluti wajah serinya, kejelitaannya begitu tampak di usia remajanya sudah mencecah 700 tahun. Walinya tersenyum.

“Haniq, puteri bapa. Bapa tahu kerunsingan hatimu.” Suara Bapa Nasq mematikan lamunan Haniq akan kenangan-kenangannya bersama bapa dan ibunya sebelum seruan ilahi memanggil arwah ibunya kembali kepadaNya.

“Ya, bapa. Diri ini tahu mereka ini semua muhrim ku...” Haniq terhenti seketika. “...dan tak harus aku nikahi salah seorang daripada mereka.” Bapa Nasq terdiam. Kemudian mereka dua beranak memandang keluar jendela melihat indahnya ciptaan Tuhan.

4,000 tahun dahulu, kaum mereka permai. Tetapi mungkin kerana takdirNya. Kaum mereka semakin punah. Sedikit demi sedikit daripada mereka telah pergi menyahut seruan Ilahi dari langit angkasa. Kini, yang tinggal hanyalah semuhrim mereka dimana takkan mungkin pernikahan yang sah mampu diwujudkan diantara mereka.

Kebimbangan yang menyelubungi mereka semakin membengkak apabila mereka memikirkan akan kelahiran kaum jahanam yang dipercayai akan meragut kemakmuran negeri terpencil mereka dan menghapuskan usia mereka serta merta. Kelahiran kaum jahanam itu sudah tercatat dalam kitab kuno kepercayaan mereka dan semestinya bilangan kecil mereka ini takkan mampu melawan kemampuan kaum jahanam yang berbilang itu.

˜

“Bapa Nasq, apakah bapa fikirkan ini jalan terbaik untuk kaum dan bangsa kita?” Bapa Laq bersuara dengan nada kerisauan. Bapa Nasq memandangnya dengan suatu perasaan yang kecamuk.

“Apakah kaum manusia boleh menjadi penyelamat kaum kita ini? Sedangkan mereka itu bangsa perosak!” Kata-kata Bapa Harq memecahkan kebeningan suasana diantara ketiga lelaki berusia bangsa langit ini. “Bapa Nasq, bukankah sudah tercatat di dalam Al-Quran bahawa...”

“Tetapi Bapa Nasq, bangsa manusialah yang diangkat sebagai khalifah bumi...” Bapa Laq memotong kata-kata Bapa Harq yang semakin kencang itu.

Bapa Nasq cuba mendamaikan suasana. “Begini Bapa Harq, Bapa Laq..bukanlah maksud kita untuk mengangkat bangsa manusia ini sebagai pahlawan bangsa kita untuk menentang jahanam itu. Bukan begitu...” Kedua bapa yang kebingungan itu kembali tekun mendengar penjelasannya.


˜


“Bapa, apakah pilihanmu itu benar?” Haniq memandang wajah walinya dengan penuh perasaan yang berbaur. Anak hatinya seolah langsung tidak dapat mempercayai kata-kata walinya itu.

Bapa Nasq menggeleng dengan perlahan sambil menyambut genggaman tangan puteri remajanya itu. “Anak, kita sudah tidak ada pilihan lain lagi. Bersiaplah kamu anakku.” Diam seketika. “Kita akan berangkat sebelum waktu Tahajjud...”

“...dan kita berdua akan menjadi saksi nikahmu, Haniq.” Bapa Laq menyambung. Bapa Harq mengangguk setuju.

“Kita terpaksa merahsiakan perkara ini dari Imam dan seluruh kaum bangsa kita.” Bapa Harq berkata cuba mendapatkan keyakinan Haniq.

Haniq yang kebingungan mulai berkaca. “Tapi sampai bila, bapa? Sesungguhnya Tuhan itu maha mengetahui!”

“Tuhan juga maha mengetahui akan tujuan murni kita, anak.” Bapa Nasq yang cuba menahan sebak berkata sambil mendakap puterinya yang mulai mengalirkan sungai dukanya.

“Kita ini tidak pernah mengenali mana-mana lelaki berbangsa manusia.” Haniq berkata disebalik tangis kecilnya.

“Apakah kamu tidak pernah mendengar betapa mulianya Rasulullah? Betapa sempurnanya Yusof? Betapa gagahnya Musa?” Bapa Nasq dan Bapa Laq memandang kearah Bapa Harq yang cuba mengumpulkan keyakinan utuh buat Haniq.

Haniq kemudiannya terdiam seketika. Bukanlah maksudnya untuk melaknati indahnya ciptaanNya. Tidaklah mahunya untuk menjadi sekutu iblis yang enggan sujud kepada Adam yang tercipta dari tanah. Tetapi kemahuan bapa-bapanya untuk dinikahkan dengan bangsa manusia itu amatlah jauh dari pemikiran kaum bangsanya. Namun dia akur. Rezki zuriat itulah satu-satunya bakal menjadi penyambung generasi kaum langit yang kian menghilang ini demi untuk melindungi kampung terpencil di kaki langit firdausi ini.

“Bapa Nasq, siapakah bakal suami ini?” Kedua bapa-bapa saksi nikah kepada Haniq bertanya dengan serentak. Haniq memandang ke arah anak mata walinya.

“Firdaus Ridhwan namanya.”


˜


Bersambung....

2 comments:

Ray said...

salam

aku xpndai mngkritik & juga xbrapa arif untk menilai..tapi aku cuma boleh katakn "part 2 bila nak kluar ya..xsbar nk smbung baca"

wasalam...

Finie Ramos said...

Terima kasih bnyk2 sb sudi membaca..huhuh..xsangka dn sgt terharu...

Part ke-2 suda pun siap ttp blum mahu lg d upload krna mnunggu sambutan dlu...d sbabkn ko suda duluan mengkomen, insyaAllah petang ni la ku upload..hehehe

10000 terima kaseh~